JellyPages.com

Saturday 22 September 2012

Kisah Cinta Khadijah binti Khuwailid

Suatu ketika Sayyidah Khadijah mencari orang yang dapat menjual barang dagangannya, maka tatkala beliau mendengar tentang Muhammad sebelum beliau diangkat menjadi nabi,  memiliki sifat jujur, amanah dan berakhlak mulia. Oleh itu, Sayyidah Khadijah meminta Muhammad untuk menjualkan barang dagangannya bersama seorang pembantunya yang bernama Maisarah.

Muhammad Al-Amin pun bersetuju lalu berangkatlah beliau bersama Maisarah. Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah menjadikan perdagangan tersebut menghasilkan keuntungan yang banyak. Maka Sayyidah Khadijah berasa sangat gembira dengan hasil tersebut, namun kegembiraan tersebut tidaklah sebesar kegembiraan beliau terhadap keperibadian Muhammad. Maka muncullah satu perasaan aneh yang bercampur baur di fikirannya. Beliau dapat merasakan lelaki tersebut iaitu Muhammad tidak seperti lelaki yang lain.

Walaupun begitu, Sayyidah Khadijah memikirkan adakah Muhammad mahu mengahwini beliau yang ketika itu sudah hampir 40 tahun? Dan apa kata orang lain nanti setelah beliau telah menutup pintu hati bagi banyak pemuda Quraisy yang pernah melamarnya?


Di saat beliau bingung memikirkan hal itu, muncullah temannya yang bernama Nafisah binti Munabbih dan mereka bersembang bersama. Atas kecerdikan Nafisah, beliau berjaya mengorek rahsia hati Sayyidah Khadijah terhadap Muhammad. Nafisah membesarkan hati Sayyidah Khadijah dan menenangkan perasaanya dengan mengatakan Khadijah adalah wanita yang memiliki martabat, keturunan orang terhormat, cantik dan memiliki harta. Tatkala Nafisah keluar daripada rumah Sayyidah Khadijah , dia terus menemui Muhammad al-Amin dan berlakulah perbualan antara mereka....

Nafisah        : Apakah yang menghalangimu untuk berkahwin wahai Muhammad?

Muhammad : Aku tidak memiliki apa-apa untuk berkahwin.


Nafisah        : ( Tersenyum) Jika aku pilihkan untukmu seorang wanita yang kaya, 

                      cantik dan cukup semuanya, apakah kamu mahu menerimanya?

Muhammad : Siapakah dia?


Nafisah         : (Dengan cepat dia menjawab) Khadijah binti Khuwailid.


Muhammad : Jika dia setuju maka aku pun setuju.


Lalu, Nafisah pergi menemui Sayyidah Khadijah untuk menyampaikan khabar gembira tersebut manakala Muhammad al-Amin memberitahu ayah saudaranya tentang hasratnya untuk mengahwini Khadijah. Kemudian, pergilah Abu Thalib, Hamzah dan yang lain menemui ayah saudara Khadijah yang bernama Amru bin Asad untuk melamar Khadijah dan seterusnya menyerahkan mahar.



Setelah usai akad nikah, beberapa ekor haiwan telah disembelih dan diberikan kepada orang fakir. Khadijah membuka pintu bagi keluarga dan handai taulan dan ternyata terdapat juga Halimah Sa'diyah yang datang untuk menyaksikan perkahwinan anak susuannya. Setelah itu dia kembali ke kampung halaman dengan membawa 40 ekor kambing sebagai hadiah perkahwinan dari Sayyidah Khadijah.

Maka jadilah Sayyidah Quraisy sebagai isteri kepada Muhammad al-Amin dan jadilah dirinya contoh yang paling utama dan paling baik dalam hal mencintai suami dan mengutamakan kepentingan suami daripada kepentingan sendiri. Muhammad telah mengambil Zaid bin Haritsah  dan sepupunya , Ali bin Abi Thalib sebagai anak angkat. 


p/s : Carilah hanya cinta yang seiring dengan syariat Allah swt insyaAllah perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhirnya..

(Sumber: Mahmud Mahdi Al-Istanbuli & Musthafa Abu An-Nashr Asy-Syalabi, Mereka Adalah Para Shahabiyat, 41)


No comments:

Post a Comment