JellyPages.com

Thursday 8 November 2012

Hukum Menyapu Muka Seusai Berdoa

Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita ialah menyapu muka seusai berdoa sebagai penutup doa dan mungkin untuk mendapat berkat dari doa tersebut.
Namun begitu, perbuatan tersebut tidak mempunyai asas dari syarak dan tiada nas yang boleh dijadikan hujah untuk mengatakan menyapu muka seusai berdoa merupakan satu anjuran dalam Islam. Kebanyakan dalil yang digunakan lemah belaka.
Antaranya:

 Hadis pertama :

(1) " Dari Soleh bin Hassan al-Ansari, dari Muhammad bin Ka'ab al-Qardzi dari Ibnu 'Abbas, beliau berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu'alaihiwassalam: Jika engkau berdoa kepada Allah, maka berdoalah dengan telapak tanganmu, janganlah berdoa dengan kedua-dua belakangnya. Maka setelah selesai, sapulah wajahmu dengan kedua tanganmu. [H/R Ibnu Majah dalam Sunan. Hadis no (1181)].

Hadis ini adalah sangat lemah kerana pada sanadnya terdapat perawi yang lemah sebagaimana dapat diketahui dari penjelasan di bawah :

1. Dalam az-Zawaid dinyatakan: Isnad hadis ini lemah. Ia dilemahkan kerana Soleh bin Hassan. [Sunan Ibn Majah (1/373)].

2. Menurut Imam Bukhari rahimahullah: Hadis yang datang dari Soleh bin Hassan al-Ansari dari Muhammad bin Ka'ab al-Qurdzi adalah hadis mungkar dan beliau menambah: Setiap seorang yang telah aku katakan hadisnya mungkar, maka tidak halal utnuk meriwayatkan darinya. [Mizan al-I'tidal (1/6) Az-Zahabi].

3. Menurut Ibnu Hibban : Semua hadis yang diriwayatkan oleh Soleh bin Hassan adalah palsu. [ Al-Irwa al-Ghalil. (2/180). Al-Albani].

Hadis Kedua:

(2) "Berkata Hammad bin Isa al-Juhani dari Handhalah bin Abi Sufyan al-Jumahi dari Salim bin Abdullah dari bapanya dari 'Umar bin al-Khattab radiyallahu 'anhu berkata: Rasulullah sallallahu'alaihiwassalam mengangkat tangannya ketika berdoa. Baginda tidak mengembalikan kedua tangannya sehingga mengusap wajahnya. Berkata Muhammad bin al-Munthannah dalam hadisnya : Baginda tidak mengembalikan keduanya sehingga mengusap dengan kedua tangannya wajahnya." [H/R Tirmizi. (5/3386)]

Hadis ini sangat lemah kerana terdapat Hammad bin Isa Al-Juhani yang merupakan perawi yang lemah.

Berkata syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah : Perawi seperti dia lemah sekali maka, hadisnya tidak boleh dihasankan, dengan demikian, sama sekali tidak boleh disahihkan. [ Irwa al-Ghalil fii Takhrij Ahadis Manaris Sabil. (2/433)].

Hadis ini juga dilemahkan oleh para ulama hadis seperti Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam Ahmad dan Abu Hatim al-Razi. Berkata Ibnu Makula: Para ulama hadis telah melemahkan hadis-hadis Hammad. [Tahzib al-Tahzib oleh Ibnu Hajar].

Hadis ketiga:

(3) Dari Abdullah bin Abbas radiyallahu 'anhu, sesuangguhnya Rasulullah sallallahu'alaihiwassalam bersabda : Janganlah kamu menutupi dinding-dinding (dengan kain), sesiapa melihat kitab saudaranya tanpa izinnya, maka sesuangguhnya dia telah melihat dalam neraka. Mintalah kepada Allah dengan telapak tangan kamu dan janganlah meminta dengan belakangnya. Jika kamu telah selesai berdoa, maka usaplah wajahmu dengan telapak tanganmu." [ HR Ibn Majah dan Abu Daud].

Menurut ulama hadis, hadis ini sangat lemah kerana mempunyai beberapa 'illah/ kecacatan.

Abul Hasan bin al-Qattan dan Hafiz Ibn Hajar berkata : Perawi hadis ini iaitu Abdul Malik bin Muhammad bin Aiman al-Hijazi adalah seorang yang tidak dikenali, oleh itu hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah kerana tidak ada penguatnya. [Taqrib al-Tahzib].

Abu Daud berkata: Hadis ini telah diriwayatkan dengan pelbagai jalan dari Muhammad bin Ka'ab, tang semuanya sangat lemah. Walaupun sanad in yang terbaik, namun hadis ini juga lemah. [Mukhtasar Sunan Abi Daud (2/1432)].

Kesimpulan:
Dengan sedikit penjelasan di atas, ternyata hadis-hadis yang digunakan untuk menghalalkan amalan menyapu muka seusai berdoa adalah lemah belaka. amalan ini merupakan bid'ah dan setiap bid'ah itu adalah sesat dan tempatnya di neraka. 

Wallahua'lam.



Source : URD, Hukum Menggerakkan Jari Telunjuk dan Menyapu Muka Setelah Salam dan Berdoa, halaman 70