JellyPages.com

Sunday 3 July 2011

Ingat, Jagalah ikhtilat!

بسم الله الرحمن الرحيم
"Batas Pergaulan antara Lelaki Dan Perempuan Bukan Mahram" 
- dipetik dari Tazkirah Remaja oleh Datuk Mohd Zawawi Yusoh.
     Alam remaja ialah alam yang sangat mencabar. Pada tempoh inilah, pelbagai macam perasaan bergolak dalam diri remaja. Remaja yang sedang meningkat usia ini mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat kuat. Mereka juga mudah terpengaruh dengan sikap rakan sebaya. Contoh yang paling ketara kini adalah masalah pembuangan bayi atau 'baby dumping'. Semuanya bermula daripada pergaulan bebas.

Antara batas dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram ialah :
1) Pandangan    
Bagi kaum lelaki, Allah telah berfirman dalam surah An-Nur ayat 30 :
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Bagi kaum perempuan juga Allah swt telah berfirman dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud:
"Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak memandang) setengah dari pandangan mereka..."
Dari kedua-dua ayat di atas, dapat kita fahamkan bahawa kita hanya boleh memandang kaum yang berlainan jantina ketika PERLU sahaja.
Pandangannya pula mestilah tidak melampaui batas dan boleh melahirkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan sahaja kita percaya hawa nafsu akan menguasai diri dan syaitan mudah menggoda yang akhirnya akan menjerumuskan kita ke kancah maksiat.

2) Pertemuan 
Maksud pertemuan di sini adalah pertemuan di tempat yang sunyi dan tersorok daripada pandangan umum atau orang ramai. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 
" Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu adalah syaitan."
(H/R Bukhari, Muslim dan lain-lain)

3) Percakapan
Percakapan yang dimaksudkan di sini adalah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh membawa kepada fitnah.
Kaum wanita juga dilarang untuk melembutkan suara ketika bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya.
Dalam surah Al- Ahzab ayat 32 , Allah swt berfirman :
"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), 
dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."
Walaupun ayat ini diturunkan kepada isteri-isteri nabi, namun tidak salah untuk  semua wanita  mengambil pengajaran daripada ayat tersebut.

4) Berjabat tangan
Menurut Islam, hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram sepertimana yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a : 
"...Demi Allah, tidak pernah Rasulullah SAW menyentuh tangan seorang wanita lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai'ah mereka dengan percakapan.
(H/R Imam Ahmad)

5) Bersentuhan badan
Bersentuhan badan bermaksud berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.
Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan yang sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
" Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya."
(H/R Tabrani)

~ Wallahua'lam ~



No comments:

Post a Comment