JellyPages.com

Wednesday, 30 November 2011

Surah Al-Anbiya' Ayat 1

Bismillah.
Maksudnya : " Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka,sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat) "

Sahabatku, ingatlah..! 
Hidup kita di dunia hanya sementara..
Andai dihitung, kita lebih pentingkan dunia daripada akhirat kan..
Pagi, sibuk dengan perkara dunia..
Petang, sibuk dengan perkara dunia...
Malam, tidur berpasangkan niat keduniaan untuk hari esok..
Bila akhiratnya?
Hanya 10 minit setiap kali solat...
Itu pun kalau sempurna solatnya...
Jadi, tidak malukah kita bertemu dengan Allah tanpa berbekalkan apa-apa..?
Sungguh, hamba takut Ya Allah..
Hamba juga terkadang lalai mengejar kejayaan dunia...
Bimbinglah hamba supaya terus mengejar kejayaan akhirat..!

Saturday, 26 November 2011

Bermulanya 1433H...

Bismillah..
Alhamdulillah kupanjatkan segala rasa kesyukuran kepada Allah swt kerana dengan izinNya, masih lagi diri ini diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sebagai Muslimah dan kini masuknya 1433H...
Dan hari ini juga, bermulanya kehidupan baru..
Setelah satu tahun berlalu, cuba kufikirkan, apa yang telah aku lakukan selama ini.. ?
Dalam tempoh setahun, terlalu banyak perkara yang berlaku..
Menjadi seorang pelajar universiti, belajar undang-undang, dan masih belum mengenali manhaj yang benar...
Dalam masa setahun juga, aku mula dijinakkan untuk lebih mendalami ilmu agama...
Perubahan yang paling besar berlaku...
Aku bertemu dengan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah..
Subhanallah!!
Hamba bersyukur ya Allah, kerana Allah memilih hamba sebagai salah seorang yang bertuah...
Aku berbangga menjadi orang yang 'asing'..
Aku gembira tatkala bersama sahabat semanhaj...
Aku gembira dengan kehidupan sekarang...
Biarpun pada 1432H yang baru sahaja berlalu, hidupku bercampur aduk...
Aku berazam, masuknya 1433H ini, aku akan cuba menjadi....
Insan yang benar-benar mempraktikkan apa yang ada dalam Al-Quran dan Sunnah...
Menjadi insan yang kuat imannya untuk berdakwah kpd keluarga tersayang...
Dan menjadi seorang wanita solehah yang mendambakan syurga yang hakiki....
~ InsyaAllah ~

Tuesday, 22 November 2011

Tak Sabar Rasanya..

 ~Bismillah~
Dah  3 bulan rasanya tak post apa-apa entri...
Maklum la, sejak masuk balik ke universiti, hidup kian sibuk..huhu..
Tapi apa-apa pun, nak inform dengan sahabat disayangi,
Ambo memang tak sabar sangat nak ke satu program ni...
Jom lah kita gi ramai-ramai dan supaya kita...
Dapat mengenali dengan lebih dalam lagi tentang..
Manhaj Ahli Sunnah Wal Jama'ah..#smile

Tuesday, 9 August 2011

Goyangkan Telunjuk Ketika Tasyahhud

Alhamdulillah, hari ni 10 Ramadan 1432H, Allah masih memanjangkan usiaku untuk meneruskan sisa-sisa hidup dalam keadaan Iman dan Islam dan masih mampu menjalani ibadah terutamanya puasa dan solat tarawikh dalam keadaan sihat fizikal dan mental. 
Malam ni, seperti biasa menunaikan solat tarawikh bersama M dan aku dipilih menjadi imamah.
Aku menunaikan solat tarawikh seperti biasa tapi mungkin yang paling ketara dilihat M sebagai makmum adalah apabila tasyahhud di mana aku menggoyang-goyangkan jari telunjukku sepanjang tasyahhud dan membaca qunut dalam solat witir sehingga seusai solat,
M    : "Wardah(bkn nama sebenar) kenapa waktu tahiyat goyang-goyang jari? Saya dari dulu lagi tak penah buat macam tu. Orang yang dulu-dulu pun tak buat.'
W : " Kita ni buat ikut dalil. Kalau ada dalil yang sohih, kita tukaq la cara amalan kita dan ikut macamana nabi buat. Nanti kami tunjuk na dalilnya.."
Ini adalah antara dalil menunjukkan wajibnya menggoyang-goyangkan jari telunjuk tatkala tasyahhud:

Sebagaimana hadis dari Baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam meletakkan telapak tangan kirinya di atas lutut kirinya dengan mengembang. Baginda menggenggam semua jari-jemari tangan kanannya, tetapi mengacukan telunjuknya ke kiblat dan mengarahkan pandangan matanya ke telunjuknya (melihat jari telunjuknya sambil menggoyang-goyangkannya)”. 

(Hadis Riwayat Muslim, Abu ‘Awanah, Ibnu Khuzaimah, al-Humaidi dalam Musnadnya 131/1. 



Abu Ya’la rahimahullah memberikan tambahan pada hadis ini dengan sanadnya yang sahih dari Ibnu Umar radiyallahu ‘anhuma:
“Menggerak-gerakkan jari telunjuk (dalam tasyahhud) sebagai pengusir syaitan. Seseorang tidak akan menjadi lupa selama dia menggerakkan telunjuknya (dalam tasyahhud)”. 

(Lihat: Sifat Solat Nabi. Hlm. 195. Nota kaki. Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani)



“Al-Humaidi mengacukan (menggoyang-goyangkan) jari telunjuknya. Beliau berkata: Muslim bin Abi Maryam berkata: Ada orang bercerita kepadaku, bahawa dia melihat keadaan para nabi dalam keadaan solat, mereka mengacukan/menggerak-gerakkan (mengisyaratkan) jari telunjuk mereka seperti itu. Kemudian Humaidi mengacukan jari telunjuknya”.

 (Menurut Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, sanadnya sahih. Lihat: Sifat Solat Nabi)

~Wallahua'lam~

Monday, 18 July 2011

Kalam yang Sangat Indah

Tatkala khusyuk membaca satu risalah bermanfaat yang dihantar oleh seorang sahabat, Miss Blogger sangat tertarik satu kalam ini...
Zuunun radhiyallahu'anhu berkata,
"Wahai saudaraku, berdirilah di hadapan tuhanmu seperti anak kecil di hadapan ibunya. Setiap kali ia dipukul, ia malah bergerak ke arahnya, dan setiap kali ia diusir, ia malah mendekatinya. Keadaannya tetap seperti itu sampai sang ibu mendakapnya..."
Indah kan? Sebenarnya ada maksud tersirat tau di sebalik kalam ni..

Maksudnya, biarpun kita ditimpa pelbagai musibah, bersabarlah kita dengan ujian itu. Semakin banyak kita ditimpa musibah, maka semakin dekatkanlah diri kita dengan Allah Yang Maha Agung. Janganlah menganggap ujian yang didatangkan hanya untuk menyusahkan kita, mendera kita sehinggakan ada yang menyalahkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Na'uzubillah.
Allah Yang Maha Penyayang tidak akan menguji kita melampaui kemampuan hambaNya sebagaimana Dia berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud :
"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.."

~Wallahu a'lam ~

Sunday, 3 July 2011

Ingat, Jagalah ikhtilat!

بسم الله الرحمن الرحيم
"Batas Pergaulan antara Lelaki Dan Perempuan Bukan Mahram" 
- dipetik dari Tazkirah Remaja oleh Datuk Mohd Zawawi Yusoh.
     Alam remaja ialah alam yang sangat mencabar. Pada tempoh inilah, pelbagai macam perasaan bergolak dalam diri remaja. Remaja yang sedang meningkat usia ini mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat kuat. Mereka juga mudah terpengaruh dengan sikap rakan sebaya. Contoh yang paling ketara kini adalah masalah pembuangan bayi atau 'baby dumping'. Semuanya bermula daripada pergaulan bebas.

Antara batas dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram ialah :
1) Pandangan    
Bagi kaum lelaki, Allah telah berfirman dalam surah An-Nur ayat 30 :
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Bagi kaum perempuan juga Allah swt telah berfirman dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud:
"Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak memandang) setengah dari pandangan mereka..."
Dari kedua-dua ayat di atas, dapat kita fahamkan bahawa kita hanya boleh memandang kaum yang berlainan jantina ketika PERLU sahaja.
Pandangannya pula mestilah tidak melampaui batas dan boleh melahirkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan sahaja kita percaya hawa nafsu akan menguasai diri dan syaitan mudah menggoda yang akhirnya akan menjerumuskan kita ke kancah maksiat.

2) Pertemuan 
Maksud pertemuan di sini adalah pertemuan di tempat yang sunyi dan tersorok daripada pandangan umum atau orang ramai. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 
" Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu adalah syaitan."
(H/R Bukhari, Muslim dan lain-lain)

3) Percakapan
Percakapan yang dimaksudkan di sini adalah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh membawa kepada fitnah.
Kaum wanita juga dilarang untuk melembutkan suara ketika bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya.
Dalam surah Al- Ahzab ayat 32 , Allah swt berfirman :
"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), 
dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."
Walaupun ayat ini diturunkan kepada isteri-isteri nabi, namun tidak salah untuk  semua wanita  mengambil pengajaran daripada ayat tersebut.

4) Berjabat tangan
Menurut Islam, hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram sepertimana yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a : 
"...Demi Allah, tidak pernah Rasulullah SAW menyentuh tangan seorang wanita lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai'ah mereka dengan percakapan.
(H/R Imam Ahmad)

5) Bersentuhan badan
Bersentuhan badan bermaksud berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.
Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan yang sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
" Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya."
(H/R Tabrani)

~ Wallahua'lam ~



Saturday, 2 July 2011

"Bacalah Al-Quran Sesuai Dengan Suasana Hati Kalian"

بسم الله الرحمن الرحيم


Abu Nu'man Muhammad bin al-Fudhail 'Arim memberitahu kami, yakni al-Bukhari dari Jundab bin 'Abdillah r.a, dari Nabi SAW, beliau bersabda :

"Bacalah al-Quran sesuai dengan suasana hati kalian. Dan jika hati kalian bertentangan, maka tinggalkanlah ia."


Diriwayatkan pula di beberapa tempat lain dan juga Muslim, keduanya berasal dari Abu 'Imran. Juga Muslim dari Yahya bin Yahya, dari Abu 'Imran. Dan diriwayatkan oleh Muslim, dari Ahmad bin Sa'id bin Hibban Ibnu Hilal, dari Abban al-'Ithar, dari Abu 'Imran secara marfu'. Juga diriwayatkan oleh an-Nasa-i dan ath-Thabrani dari hadis Muslim bin Ibrahim, dari Abu 'Imran.

Hadis di atas mengandungi makna bahawa Nabi SAW telah memberikan bimbingan dan memerintahkan umatnya untuk membaca Al-Quran jika hati telah fokus untuk membacanya, dengan disertai pemikiran terhadapnya, tidak pada saat hati tengah sibuk kerana dalam keadaan seperti itu, tidak dapat merealisasikan tujuan dari bacaan tersebut. Sebagaimana yang ditegaskan di dalam hadis bahawa Nabi SAW telah bersabda :


" Kerjakanlah pekerjaan sesuai dengan kemampuan kalian, kerana Allah tidak akan rasa bosan sehingga kalian berasa bosan."

Beliau juga bersabda :


" Amal perbuatan yang paling disukai Allah adalah yang dilakukan oleh pelakunya secara rutin - dalam lafaz lain disebutkan - amal yang paling disukai oleh Allah adalah yang dikerjakan secara rutin walau  hanya sedikit."


~ Wallahua'lam ~

Tahukah Anda Sejarah Pengumpulan Al-Quran?

Daripada Tafsir Ibnu Kathir, halaman 411 :

  Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada 'Ubaid bin as-Sabbaq, bahawa Zaid bin Tsabit menceritakan : Abu Bakar mengirim seorang utusan yang mengabarkan kepadaku tentang orang-orang yang terbunuh pada peristiwa Yamamah. Kebetulan saat itu, 'Umar bin Al-Khattab sedang berada di sisinya, lalu Abu Bakar berkata : "'Umar,telah mendatangiku lalu berkata : ' Pembunuhan terhadap para qari' semakin parah dan aku benar-benar khawatir pembunuhan ini semakin gencar dilakukan terhadap para ahli qira-at di beberapa tempat sehingga banyak al-Quran yang hilang. Dan aku berfikir, kiranya engkau perlu memerintahkan untuk mengumpulkan Al-Quran'. Lalu kukatakan kepada 'Umar :' Bagaimana kami bisa melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW?'. 'Umar pun berkata : 'Demi Allah, ini benar-benar perbuatan yang sangat baik'. Dan 'Umar berkali-kali mendatangiku sehingga Allah melapangkan dadaku untuk melakukan itu, dan aku pun akhirnya sependapat dengan 'Umar.
   
   Lebih lanjut Zaid menceritakan bahawa Abu Bakar berkata : "Seseungguhnya engkau ini orang yang masih muda dan pintar. Kami tidak meraguimu, kerana engkau pernah menulis wahyu untuk Rasulullah SAW, kerananya carilah Al-Quran dan kumpulkanlah". Demi Allah, seandainya mereka menugaskanku untuk memindahkan gunung, maka hal itu tidaklah lebih berat berbanding pengumpulan Al-Quran yang diperintahkan oleh Abu Bakar kepadaku. Lalu aku tanyakan : "Bagaimana mungkin kalian melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW?" Abu Bakar menjawab : "Demi Allah, yang demikian itu sangatlah baik." Dan Abu Bakar masih terus mendatangiku berkali-kali sehingga Allah melapangkan dadaku untuk menerimanya sebagaimana Dia melapangkan dada Abu Bakar dan 'Umar. Selanjutnya, aku pun mencari Al-Quran untuk aku kumpulkan dari pelepah kurma dan batu serta dari dada-dada (hafalan) orang-orang, dan aku mendapatkan akhir surat at-Taubah ada pada Abu Khuzaimah al-Anshari yang tidak aku temukan pada yang lainnya.

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w.)
      - sampai akhir surat at-Taubah.

   Lalu lembaran-lembaran tulisan al-Quran itu ada pada Abu Bakar sampai akhir hayatnya kemudian ada pada 'Umar semasa hidupnya dan selanjutnya beralih pada Hafshah binti 'Umar.

   Hal ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di beberapa tempat dalam Shahih-nya. Diriwayatkan pula oleh Imam Ahmad, at-Tirmizi, dan an-Nasa-i melalui beberapa jalur dari az-Zuhri.

   Pengumpulan al-Quran ini merupakan usaha yang paling baik, besar, dan agung yang pernah dilakukan oleh Abu Bakar ash-Shiddiq, sehingga Allah Ta'ala menempatkannya pada posisi tepat setelah Nabi SAW. Kedudukan yang tidak sesuai ditempati oleh seorang pun sepeninggalan Baginda SAW kecuali Abu Bakar. Abu Bakar memerangi musuh, baik dari kalangan yang menolak bayaran zakat, orang yang murtad, orang Persia dan Romawi, mengerahkan bala tentera, mengirim utusan dan pasukan, dan mengembalikan masalah pada porsinya setelah berasa takut akan tercerai berai dan hilang. Selain itu, beliau juga mengumpulkan al-Quran dari beberapa tempat yang terpisah sehingga memungkinkan bagi qari' untuk menghafalnya secara keseluruhan. Dan inilah rahsia di sebalik firman Allah Ta'ala :

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang Memelihara dan Menjaganya.

   Dengan demikian, Abu Bakar telah mengumpulkan kebaikan dan menyingkirkan keburukan. Mudah-Mudahan Allah meredainya dan menjadikannya reda. Oleh kerana itu, telah diriwayatkan lebih dari satu imam, antaranya Waki', Ibnu Zaid, Qabishah, dari Sufyan ats-Tsauri, dari 'Ali bin Abi Thalib r.a, dia berkata : " Sesungguhnya orang yang paling besar pahalanya dalam pengumpulan mushaf ini adalah Abu Bakar, kerana Abu Bakarlah orang pertama yang mengumpulkan al-Quran antara dua papan." Ini adalah sanad yang shahih.

~ Wallahua'alam ~



Friday, 1 July 2011

~ Puisi Buat Muslimat ~

"Ya Khazinatul Asrar, yakni Si Penyimpan Rahsia,

Padamu ada asrar yang menjadi idaman mujahid,

Tersingkap asrar padamu di mukaddimah secebis ma'rifat,

Ma'rifat hasil cahaya daripada Allah swt,

Selamilah maksud sebenar hidup kepadaNya, keranaNya, dan denganNya,

Jagalah humaira di wajahmu,

Jagalah NUR syuhudiyah di qalbumu,

Jagalah akhlak nubuwwah pada perilakumu,

Semoga gelaran Wanita Solehah menjadi milikmu.. "

Sunday, 22 May 2011

Bimbinglah Ibu Bapamu Ke Syurga

                      Hari ini, hatiku tergerak untuk berkongsi dengan kalian, anak-anak kepada ibu dan bapa di muka bumi ini mengenai satu ilmu yang sangat hebat yang kuperoleh daripada ceramah Ustaz Rasul Dahri mengenai kitabnya, 


"Selamatkan Rumah Tangga Anda Dengan Titian Sunnah"

Hanya ingin kusentuh sedikit sahaja mengenai kandungan di dalam buku ini yakni, 
si ANAK mampu membawa IBUBAPANYA ke SYURGA...
Subhanallah! 
Seronok kita dengar kan?

Tapi bagaimana ?

Caranya begitu mudah yakni menjadi anak yang soleh dan solehah. Bagaimana?
Apakah syarat-syaratnya?

Yang pertama, tinggalkan perkara syirik.
Yang kedua, tinggalkan bid'ah.
Yang ketiga, tinggalkan perkara-perkara tahyul.

Sahabatku, jasa seorang ibu yang melahirkan anaknya dengan penuh kepayahan, keperitan, kesakitan dan sanggup bertarung nyawanya demi menyelamatkan si anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari amat mengharukan. Bagi si anak, sudah pasti masing-masing ingin memastikan ibu dan bapanya masuk ke syurga tanpa dihisab.

Allah itu Maha Penyayang sahabatku, Dia tahu yang terbaik dan Dia sudah berikan kita jalannya iaitu menjadi ANAK YANG SOLEH.

Antara dalilnya ialah :


1) Dalam Surah At-Tur :21


21. Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka , dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.Maksudnya: anak cucu mereka yang beriman itu ditinggikan Allah derajatnya sebagai derajat bapak-bapak mereka, dan dikumpulkan dengan bapak-bapak mereka dalam surga.

2)   Mafhum hadis : 
"Sabda Rasulullah saw : Apabila mati seorang manusia maka terputuslah amalannya   kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak soleh yang mendoakannya."

3) Keluarga orang yang beriman yang dibina dengan cinta dan kasih sayang akan meneruskan kasih sayang dan cinta mereka sehingga ke akhirat bersama keluarga mereka, kerana nama-nama mereka atau nama keluarga mereka akan dipanggil untuk disatukan di syurga sebagaimana hadis :

"Dari Abi Darda' r.a berkata : Rasulullah saw telah bersabda : Sesungguhnya kamu kelak pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu(berkumpul di syurga), maka pilihlah nama-nama yang baik". 
H/R Abu Daud dan Ibnu Hibban.

4) "Diperintahkan kepada anak-anak di hari kiamat : Masuklah ke dalam syurga. Mereka menjawab : Wahai Rabb-ku, (kami tidak masuk) sehingga bapa dan ibu kami masuk (terlebih dahulu)! Ketika mereka (ibu bapa) datang, maka Allah swt berfirman kepada mereka : Aku tidak melihat mereka terhalang. Masuklah kamu ke dalam syurga. Mereka mengatakan : Wahai Rabb-ku, bapa dan ibu kami? Allah berfirman : Masuklah ke dalam syurga bersama orang tuamu".  
H/R Ahmad dan para perawinya thiqah. Abul Mughirah pula adalah Syuduk(org yg dipercayai).

5) "Mana-mana wanita (berimana) yang meninggal dunia tiga orang anaknya, maka anak-anak tersebut akan menjadi penghalang antara dia dan api neraka. Wanita itu bertanya : Andai dua orang? Sabda Rasulullah : Begitu juga dua orang." 
 H//R Bukhari dan Muslim.



6) "Tidaklah ada seorang Muslim yang meninggal tiga orang anaknya yang belum baligh, kecuali Allah akan memasukkan orang tersebut ke dalam syurga kerana rahmat Allah kepada anak-anak tersebut".
H/R Bukhari.

7) " Tidakkah kamu nanti merasa gembira ketika kamu mendatangi pintu-pintu syurga, ternyata kamu temui dia (anak kamu) sedang menunggu di pintu tersebut berlari-lari menyambut mu dan membuka pintu syurga untuk mu." 
 H/R an-Nasaii dengan sanad sahih.

Untuk mendapatkan maklumat dan ilmu yang lebih banyak, lawatilah laman web Kajian ImamSyafie dan anda boleh lihat sendiri buku ini beserta ceramah daripada penulisnya sendiri. 

Semoga kita masing-masing telah memperoleh manfaat.

Wallahua'lam.

~ ألأم مدرسة الأولى ~

Saturday, 21 May 2011

Banyak Manfaat,InsyaAllah.

Alhamdulillah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan izinNya masih lagi hambaNya yang sangat lemah ini mampu hidup dalam dua nikmat terbesarnya nikmat Iman dan Islam.

Di sini, anda boleh lihat sendiri ada banyak ceramah daripada ulama' salaf dan sunnah.
Bagi sahabat-sahabatku yang ingin mengenali atau mendalami ilmu agama berlandaskan manhaj Salafussholih atau manhaj Ahlul Sunnah Wal Jama'ah, boleh la bukak web ni : Kajian ImamSyafie. InsyaAllah anda akan dapat banyak manfaat daripadanya, yang teramat banyak.

Yang penting, amal ibadat kita, tindak-tanduk kita memang sewajibnya mengikuti apa yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah. Bukan yang diada-adakan (bid'ah), bukan yang datangnya dari kata si fulan dan sebagainya. Semuanya mesti berdasarkan DALIL. 

- No DALIL, No TALK -


Banyak Rupanya Kerja..

HermM...cuti dah sebulan, tapi kat rumah tak dak buat apa-apa pun. Ambil lesen pun tidak, kerja pun tidak, apa ja yang aku buat???

Setelah dikerah dan di kerah, rupa-rupanya dah banyak aku bekerja.


Dalam tempoh 24 jam, aku bekerja sebagai seorang hamba kepada Pencipta Alam, Allah Subhanahu wa Ta'ala. Saat ini, kita berzikir, membaca Al-Quran, solat, dan melakukan segala perintahNya dan tinggalkan laranganNya. 
Dah dapat 'gaji' berganda-ganda. Maa sya Allah, Hebat dan Pemurahnya Allah swt.

Kemudian, dalam masa yang sama, aku jugak bekerja sebagai seorang anak. 
Tolong mak, tolong ayah, teman mak, teman ayah, gembirakan hati mereka, dengar cakap mereka selagi tak bertentangan dengan syarak. 
Kat situ pun, dapat 'upah' lagi. Seronoknya..=D

Lagi? 
Bila, jumpa dengan sepupu, aku bertugas pulak sebagai kaunselor.
 Macam-macam motivasi dan ceramah aku bagi kat dia. Lagi banyak sekarang ni, sebab nak kena bantu dia buat pilihan untuk lanjutkan pelajaran ke menara gading. 
Kira macam musyawarah la. 
InsyaAllah, dapat lagi 'gaji'.

Apa lagi....
Ha! Bila jumpa Humaira, anak sedara kesayangan aku, jadi la pulak pengasuh. 
Sebelum ni berangan-angan nak keja kat nursery, tapi sebab tak dak peluang,keja la jaga anak sedara yang kiut-miut tu. 
Dapat lagi 'upah'.

Kemudian, bila jumpa ja lappy kesayangan ni, bukak tenet, bukak blog, pegang la plak jawatan sebagai blogger.
 Kalau niat buat blog ni baik, dan kongsi benda yang baik, 
insyaAllah dapat la 'ganjaran' sikit.


Lagi...
Bila bukak lappy jugak, tengok dan dengar pulak ceramah ilmiah.
Kat sini, bekerja la pulak sebagai seorang pendengar.
Kerja mendengar ja tapi , insyaAllah ada 'ganjarannya'.

Hermm, setakat kerja sekarang ni, dah kira 'kaya' dah la ne.. 
Apa lagi keja?
Ha, baru-baru ni sakit..Demam la, selsema la, batuk la..dah kena keja sebagai pesakit plak. 
Kalau aku bersabar dan berikhtiar cari penawar, berdoa agar cepat sembuh, 
dapat la 'ubatnya'...

Bila tiba ja hujung minggu, Sabtu Ahad..
maka akan tibalah giliranku menjadi seorang guru matematik kepada dua orang murid pulak. 
Membantu mereka apa yang mereka tak paham. 
Masa ni, baru aku benar-benar paham perasaan menjadi seorang guru.
 Sentiasa mengharapkan ilmu yang diberi itu berkat dan difahami muridnya. 
Seorang guru tidak inginkan wang sebagai balasan tetapi kejayaan anak muridnya dalam ilmu duniawi dan ukhrawi.
 Kat sini, dapat la lagi 'gaji bulanan'. 

Maa sya Allah ! Kalau ditambah tolak darab bahagi 'gaji,upah' semua ni, memang kaya la. Macamana aku tak perasan yang aku sebenarnya dah ada banyak kerja?

Tapi, 'gaji, upah, ganjaran' apa yang dimaksudkan???
Itu adalah PAHALA. Kita akan dapatnya dengan mudah andai NIAT BETUL dan diselitkan dengan KEIKHLASAN. Allah swt pasti memberikan kita 'ganjarannya'.


Cuba fahami firman Allah dalam Surah Hud : 15 dan 16.


Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.



Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.


~Semoga kita dijauhkan dari azab yang pedih ~

Wednesday, 4 May 2011

Kecundang lagi...


Sedih...

Terkilan...

Kecewa...

Kecewa..

Kecewa dengan diri sendiri...

Kenapa diriku belum cukup kuat???

Kenapa diriku masih membiarkan semuanya berlaku begitu sahaja di depanku???

Mungkin benar, andai keseorangan kita susah untuk teguh berdiri..

Tapi akan kucuba satu hari..

Ya! Satu hari nanti..

Akan kusampaikan kepada mereka!

Satu persatu...

Akan kusampaikan...

Ya Allah, berikan hambaMu ini kekuatan..